That is the only 'cerpen' that I had successfuly created in Maktab. Actually I have to finish it coz ' COMPULSARY'. Today, the 'cerpen' come into my head again. So, I want to post it. Ok
Fatin merenung wajahnya di cermin. Sempat dia melepaskan satu senyuman dibibirnya. Hanya dengan mengenakan kemeja T berwarna biru, seluar jeans dan tudung dia nampak begitu anggun. Semenjak dia datang ke Kuala Lumpur jarang sekali Fariz, tunangnya mengajaknya keluar. Sibuk betul jejaka yang hampir 5 tahun bertakhta dihatinya. Sesekali terfikir juga di hati Fatin yang Fariz sudah mempunyai orang lain tetapi dia cepat-cepat membuang rasa itu dari hatinya. Mustahil Fariz akan mengkhianati cintanya kalau tidak masakan dia yang beria-ia mengajak Fatin datang ke Kuala Lumpur.Lagipun tinggal 6 bulan sahaja lagi dia bakal bergelar isteri kepada Fariz. Setelah puas hati dengan penampilannya, Fatin segera mengambil tas tangannya dan berlalu keluar dari bilik. Terlihat kelibat Fareha sedang menonton televisyen di sofa.
“ Amboi! bau minyak wangi satu rumah. Nak pergi jumpa buah hati lah tu. Bukan main berseri-seri muka.” perli Fareha sebaik sahaja gadis tinggi lampai itu duduk bersebelahan dengannya.
“ Jeles lah tu.Itulah yang kau jual mahal sangat dekat Din tu sapa suruh.Kalau tidak boleh malam minggu macam ini kau ‘dating’ jugak” balas Fatin berseloroh. Fareha mencebikkan mukanya.
“ Din? Takpelah duduk rumah lagi baik dari tengok muka dia yang menyakitkan hati aku tu. Ha..yang kau ni pukul berapa nak keluar ni. Silap-silap jadi macam hari itu. Dah elok-elok siap langsung tak jadi.” Fatin hanya tersenyum hambar. Minggu lepas Fariz bersungguh-sungguh hendak mengajak dia ke KLCC. Tengok wayang katanya namun sejam kemudian bayang Fariz tidak muncul-muncul juga. Sudah tengah malam barulah dia telefon mengatakan yang dia ada hal. Tetapi sedikit pun Fatin tidak memarahinya. Itulah kelemahannya setiap kali berdepan dengan Fariz. Berkali-kali Fareha meleterinya. ‘Kau ni baik sangat, Fatin. Entah apa lah ada kat Fariz tu yang kau boleh jadi sabar dengan dia’. Masih terngiang-terngiang lagi di telinganya kata-kata Fareha. Deringan telefon bimbit Fatin mengejutkannya. Fariz....
“ Fatin..abang ni. Fatin dah siap ke?” kedengaran suara Fariz di hujung talian agak cemas.
“ Sudah abang. Tinggal tunggu abang je ni. Abang kat mana ni ? ” balas Fatin teragak-agak. Dia dapat mengagak peristiwa minggu lepas bakal terjadi lagi. Dia segera bangun menjauhkan diri dari Fareha yang memerhatikannya.
“ Abang minta maaf sayang . Abang ada hal ni. Kena kerja. Next time kita keluar. Abang janji.” Fariz memutuskan talian tanpa memberi ruang kepada Fatin untuk bertanya. Serta merta air mata Fatin jatuh ke pipi. Dia berasa sungguh kecewa. Dia segera menghampiri Fareha. Air matanya segera diseka.
“ Kenapalah dia selalu buat aku macam ni Fareha. Aku dah penat.” Luah Fatin. Air mata yang puas ditahan meluncur laju ke pipi. Fareha memeluk bahu Fatin.
“ Kadang-kadang kita sendiri yang buat diri kita penat. Aku tak pernah nak jadi batu api. Tapi semua orang ada tahap sabarnya. Kau penat sebab kau banyak berkorban untuk Fariz. Berapa kali dia buat kau macam ni? Dah banyak kali kan. Tetapi sebagai perempuan aku faham perasaan kau. Anggap jelah ini dugaan bertunang.” nasihat Fareha. Hanya itu mampu diucapkannya. Dia tahu yang sahabatnya ini sangat menyayangi tunangnya. Sudah acapkali dia melihat Fariz memungkiri janji. Pernah juga sekali dua dia terlepas memarahi Fariz namun Fatin pasti menyebelahi Fariz.
“ Entahlah Fareha. Aku sayang sangat dekat dia. Tapi makin hari dia makin jauh. Aku dah puas jaga hati dia. Sekarang ni perasaan aku dah hambar sangat. Aku dah ‘surrender’.” Fatin menyeka air matanya. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya. Fareha hanya mampu menganggukkan kepalanya. Rasa simpati di hatinya melihat wajah Fatin yang sugul itu.
“ Aku masuk dulu, Fareha.” Fatin segera masuk ke biliknya. Sebaik sampai di bilik dia melabuhkan punggungnya di katil. Dia mencapai bingkai gambar yang memang diletakkan di meja sudut katil. Kelihatan wajahnya tersenyum riang di samping Fariz. Bagi Fatin, Fariz memang seorang lelaki yang baik. Dengan ketinggian dan susuk tubuhnya yang sasa mampu mencairkan hati gadis yang melihatnya. Bukan kerana kekacakkannya dia menerima Fariz tetapi kerana kematangan Fariz walaupun jarak umur mereka hanya setahun sahaja. Fariz banyak memberi perangsang padanya sejak di bangku sekolah. Ibunya juga menyenangi lelaki itu. Hanya mungkin bukan rezeki Fariz untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Pernah juga Fariz meluahkan rasa rendah dirinya kerana berdampingan dengan Fatin yang berlulusan ijazah namun Fatin bersungguh-sungguh mengatakan bahawa cintanya satu dan akan berjanji setia padanya. Tidak pernah sekali terniat di hati Fatin untuk menduakan Fariz walaupun ada juga lelaki yang cuba memikat Fatin semasa di universiti dahulu. Fatin menyembamkan bingkai gambar itu ke dadanya. Malam itu sekali lagi dia tidur berendamkan air mata.
“Kenapalah dengan kamu berdua ini. Apa yang dah terjadi sebenarnya? Takkan kamu tak boleh bincang dengan dia lagi?” Puan Badariah mengurut kepalanya yang tidak pening itu.Kehadiran rombongan Fariz benar-benar mengejutkannya. Dia menyangka mereka datang untuk menetapkan tarikh perkahwinan dengan anak gadis kesayangannya namun tidak disangka rupanya kedatangan mereka ingin memutuskan pertunangan yang sudah lama terjalin itu. Segera dia menelefon Fatin untuk pulang. Kasihan juga di hati melihat anak gadisnya itu. Sejak dia memberitahu hal itu kepada Fatin, air matanya tidak henti-henti mengalir. Sayu betul hatinya melihat Fatin sebegitu rupa.
“Kami minta maaflah Yah. Akak pun tak tahu nak cakap macam mana lagi. Entahlah akak tak tahu mana nak letak muka ni. Dulu dia juga yang beria-ia sekarang ni pulak ini jadinya. Puas akak tanya sebabnya dia tetap tak nak beritahu akak.” Terngiang-ngiang lagi suara Puan Zakiah sewaktu menyampaikan hajatnya. Dari riak wajahnya, Puan Badariah tahu yang wanita itu juga seperti dirinya yang tidak mengetahui punca masalah ini terjadi. Namun kerana anak lelaki tunggalnya itu dia terpaksa jua.
Fatin yang duduk di sofa bertentangan dengan Puan Badariah tidak berkata apa-apa sejak dari tadi.Dia sendiri tidak faham apa yang terjadi. Semenjak kejadian 2 minggu lepas Fariz tidak pernah menghubunginya. Pernah juga dia cuba menghubungi Fariz tetapi tiada jawapan dari telefon bimbitnya. Namun, tidak disangka yang Fariz ingin memutuskan hubungan tanpa berbincang dengannya. Patutlah, Fariz semakin hambar dengannya sekarang. Air matanya gugur kesekian kalinya. Dia pun semakin bingung di buatnya. Fatin menyeka air matanya. Kasihan dia melihat ibunya yang sejak tadi mengeluh. Kalau diikutkan hatinya dia tidak ingin menyusahkan hati ibunya itu. Tetapi apakan dayanya. Tiba-tiba Fatin rasa bodoh dan hina diperlakukan sebegitu rupa. Seharusnya dia tidak boleh menangis lagi. Sudah berapa baldi air mata dicurahkan hanya pada satu hubungan ini. Dia berfikir tiada gunanya dia meratapi hubungan yang sudah berakhir itu. Kali ini dia tekad. Dia akan melupakan Fariz selama-lamanya. Dia mendekati ibunya dan memeluk erat tubuh gempal wanita itu. Puan Badariah menangis di pelukan Fatin. Dia dapat merasakan peristiwa ini merupakan tamparan hebat bagi Fatin. Dia tahu yang anak gadisnya berharap sangat dengan perhubungan ini. ‘Ya Allah...kau kuatkanlah semangat anak aku ini. Semoga dia mampu menempuh dugaan ini.’ Doa Puan Badariah di dalam hati.
______________________________________________________________
“Abang minta maaf pada Fatin. Abang tahu ini semua salah abang.” Fatin langsung tidak menjawab. Pantai Remis yang dahulu menyaksikan kemanisan percintaan mereka akan juga menjadi saksi perpisahan mereka. Fariz yang beria-ia ingin menemuinya untuk memberi penjelasan. Bagi Fatin tiada apa yang perlu dibincangkan. Air matanya sudah kering. Dia sudah dapat menerima hakikat ini.
“ Fatin janganlah macam ini. Kadang-kadang kita hanya mampu merancang tapi Allah yang menentukan semuanya. Abang pun tak nak semua ini terjadi.” Fariz berkata perlahan.
“ Ya memang hanya kita mampu merancang. Terima kasih sebab buat Fatin macam ini. Fatin betul-betul kecewa dengan sikap abang. Fatin tak kisah abang nak putuskan hubungan dengan Fatin. Tapi sekurang-kurangnya kita boleh bawa berbincang. Abang bukan saja buat hati Fatin sakit tapi ramai orang.” Fatin meluah perasaan. Fariz menundukkan wajahnya. Tidak pernah dia melihat gadis manis di hadapannya ini meninggikan suara padanya.
“ Abang minta maaf Fatin. Abang tak layak nak memiliki Fatin. Abang tak sesekali nak curang dengan Fatin tapi mungkin sebab Fatin selalu berjauhan dengan abang buat abang tak yakin dengan hubungan kita. Mungkin abang dah bertemu dengan orang yang lebih memahami abang.” Fatin tersentak mendengar penjelasan Fariz. Wajah Fariz dipandang dengan mata melolot. Kenapa dia pula harus dipersalahkan. Kini benarlah kata Fareha yang Fariz telah ada yang lain. Rupa-rupanya hanya dia bertepuk sebelah tangan selama ini. Hanya dia yang berharap pada perhubungan ini.
“ Abang tak yakin dengan hubungan kita? Kalau abang tak yakin kenapa abang juga yang beria-ia ajak Fatin bertunang. Okey, kalau itu alasan abang. Apa daya Fatin abang. Mungkin perempuan pilihan abang lebih baik dari Fatin. Boleh memberikan kebahagiaan pada abang. Fatin hanya mampu berdoa yang abang bahagia dengan dia.” Suara Fatin bergetar menahan sedih. Dia berasa amat marah dan tertipu namun dalam pada masa yang sama baginya tiada apa yang perlu ditelingkahkan lagi. Semua sudah terjadi. Cincin telah dipulangkan dan dia kini sudah bebas.Harapan yang menggunung selama ini telah berkecai.
“ Marilah abang hantarkan Fatin pulang. Nanti risau pulak makcik.” Fariz bersuara memecah kesunyian. Kasihan dia melihat wajah sugul Fatin.Dia juga rasa bersalah di hati kerana mengecewakan seorang gadis yang baik. Dia sendiri tidak pasti kenapa dia boleh menjalinkan hubungannya degan Nadia. Dalam masa yang sama cintanya kepada Fatin juga tidak pernah padam. Dia menyangka apabila dia mengikat tali pertunangan dengan Fatin dia mungkin dapat memutuskan hubungannya dengan Nadia. Namun, dia gagal. Nadia, anak Dato’ Mokhtar, majikannya begitu rapat dengannya di pejabat sehingga dia tidak sanggup mengecewakan gadis itu. Lagipun, Nadia selalu menemaninya ketika Fatin di universiti dan akhirnya tanpa sedar mereka menjalinkan hubungan percintaan.
“ Abang baliklah dulu. Tahulah Fatin balik sendiri. Fatin dah besar. Abang pun selalu kata macam tu kan.” Fatin cuba berseloroh dengan Fariz. Fariz hanya tersenyum tawar dan menganggukkan kepalanya.
“ Okaylah abang. Fatin nak jalan-jalan kat tepi pantai. Dah lama rasanya tak balik kampung.” Fatin bingkas bangun dari bangku yang didudukinya sejak dari awal tadi dan tanpa menoleh lagi, berjalan menuju ke destinasi yang dia sendiri tidak pasti. Tidak sanggup dia mengucapkan selamat tinggal pada Fariz. Selepas beberapa langkah, Fatin terdengar Fariz memanggilnya. Fatin segera menoleh dan melihat Fariz mandekatinya.
“ Abang tahu yang Fatin terluka tapi abang harap yang Fatin masih anggap abang macam kawan.Abang sayangkan Fatin, dan abang nak Fatin faham dan maafkan abang. Abang doakan Fatin jumpa lelaki yang jauh lebih baik dari abang.” Fariz berkata dengan nada tersekat-sekat. Tangan Fatin digenggamnya kuat. Fatin hanya mampu menganggukkan kepala. Dia melepaskan genggaman tangan Fariz dan terus berlalu pergi.
’ Ya..Allah.Kuatkanlah semangatku. Moga aku dapat melupakannya.’ Rintih Fatin di dalam hati. Air matanya yang tadi hanya bergenang kini sudah mengalir jatuh ke pipi. Dia sesekali tidak akan menoleh lagi. Selamat tinggal sayang..............
“ Mari makan sayang. Mama suap.” Anak kecil itu hanya menggelengkan kepala dan berlari menuju ke arah seorang lelaki yang dari tadi leka membaca surat khabar. Fatin tersenyum melihat keletah anak lelakinya itu. Baru berusia tiga tahun tetapi lasaknya mengalahkan budak yang berumur 5 tahun. Asyik mengejarnya sahaja ke hulu hilir. Teringat Fatin pada arwah ibunya. Katanya kalau Fatin ada anak pasti lasak sebab dirinya lasak semasa kecil. Melihat perangai Fazrul, Fatin mengiyakannya. Ibu borek anak rintik. Fatin tersenyum sendiri. Terkilan juga rasa hati sebab tidak sempat ibunya melihat cucunya yang satu itu dan juga tidak dapat menyaksikan perkahwinannya. Dia hilang tempat bergantung namun apakan daya Allah lebih menyayangi ibunya. Namun semua peristiwa pasti ada hikmahnya.
” Fakrul cepat pergi kat mama makan. Sejuk nasi nanti.” lembut suara lelaki itu memujuk. Anak lelaki itu masih enggan. Masih mahu menganggu papanya membaca surat khabar. Fatin sempat ketawa melihat gelagat dua beranak itu. Mohd Fakhrul bin Mohd Fariz Akmal, pemata hati pertama Fatin dan Fariz. Fatin tidak terfikir yang jodohnya dengan Fariz begitu kuat. Ibunya mengadap ilahi setahun selepas mereka memutuskan pertunangan. Fatin juga tidak menyangka secepat itu ibunya meninggalkannya kerana tiada tanda menunjukkan yang dia sedang sakit. Fatin juga tidak sempat menatap saat-saat akhir kematian ibunya kerana berada di Kuala Lumpur. Fariz dan Puan Zakiah yang banyak membantu. Fariz yang menghantarnya pulang ke kampung sementelah dia juga di sana. Sejak mereka putus tunang itulah pertama kali Fatin bertemu dengan Fariz. Selepas kematian ibunya, Fariz begitu mengambil berat akan dirinya. Puas Fatin mengelak namun Fariz mengatakan bahawa dia membantu hanya sebagai seorang kawan. Namun akhirnya, Fariz mengaku yang dia masih menyayangi Fatin. Pada mulanya tidak terlintas di hatinya untuk menerima semula cinta Fariz kerana baginya Fariz hanya simpati padanya. Tetapi, melihat kesungguhan Fariz dia akhirnya menerima Fariz sebagai suami. Itupun selepas setahun Fariz meluahkan perasaannya. Fareha juga yang banyak memujuknya. Dia yang beria-ia menyuruh Fatin kembali kepada Fariz. Katanya, dia melihat yang Fariz benar-benar bersungguh-sungguh kali ini. Fatin tahu yang sebenarnya Fareha bimbang meninggalkannya seorang diri ketika itu. Ketika itu tinggal beberapa bulan sahaja Fareha bakal bergelar isteri kepada Din. Kelakar juga rasa hati Fatin. Dulu bukan main lagi Fareha memarahi Din. Itulah kalau sudah jodoh tidak akan ke mana.
Dia juga tidak mampu menipu dirinya. Walau di mulutnya dia menafikan jauh di lubuk hati hanya Fariz yang mampu mengetuk pintu hatinya. Alhamdulillah doanya termakbul. Dia rasa bersyukur kerana Fariz tidak pernah mensia-siakannya sejak menjadi suri hati lelaki itu. Kalau arwah ibunya hidup pasti dia gembira melihat kebahagiaan anaknya sekarang. Perasaan rindu akan arwah ibunya tiba-tiba menerpa benak hatinya.
“Mama..nak tidur.” Suara pelat Fakrul mengejutkan Fatin dari lamunan. Fakrul terus meletakkan kepalanya di ribaan Fatin. Fatin segera menyeka air matanya yang tanpa disedarinya jatuh di pipi . Fariz memerhatikan isterinya itu dari jauh. Dia pasti Fatin masih teringatkan arwah ibunya. Semenjak berbadan dua ini sensitif betul hati Fatin. Kasihan juga dia melihat Fatin. Acapkali Fatin memberitahunya yang dia terkilan kerana tidak dapat bersama-sama ibunya di saat akhir. Fariz tahu betapa akrabnya hubungan dua beranak itu. Hanya Fatinlah satu-satunya anak Puan Badariah. Entah kenapa semenjak arwah Puan Badariah meninggal dunia, dia merasakan dia perlu bertanggungjawab terhadap Fatin. Tidak sampai hatinya melihat Fatin berkahwin dengan lelaki lain yang belum pasti akan dapat menjaga Fatin sebaik-baiknya. Akhirnya, dia sendiri yang memutuskan hubungannya dengan Nadia walaupun mereka sudah merancang untuk bertunang.
“ Sanggup you buat I macam ni? Apa yang kurangnya I dengan Fatin. Fariz, jangan sebab you simpati dengan dia you sanggup tinggalkan I. Jangan menjilat ludah sendiri !” dalam tangis Nadia memarahinya. Fariz kelu.Sedikit sebanyak tersentuh juga perasaan lelakinya melihat air mata Nadia.
“ I faham Nadia. Katalah apa yang you nak kata. You nak kata I tak ada pendirian I accept. You adalah perempuan yang baik bagi I. Tak ada apa kurangnya you. Tapi I rasa bertanggungjawab untuk jaga Fatin. Kalau you masih ada orang lain untuk menumpang kasih tapi Fatin tak ada Nadia. ” Air mata Nadia sudah tidak dapat ditahan. Dia menangis teresak-esak. Dia sendiri berat hati untuk melepaskan Fariz. Baginya Fariz adalah lelaki yang sempurna yang pernah hadir dalam dirinya. Dia sentiasa berasa gembira di sisi lelaki itu. Tidak pernah Fariz mengambil kesempatan ke atas kemewahan yang dimilikinya. Memang bertuah sesiapa yang mampu memiliki cinta jejaka ini.
Ketika itu, Fariz tidak tahu apa perasaan yang melanda dirinya. Dia keliru dengan perasaannya sendiri. Semakin Fatin mengelak dirinya semakin dia mengasihi gadis itu dan semakin hampir Nadia dengannya semakin jauh pula dia ingin pergi. Untuk membuat keputusan yang berat ini, Fariz hanya mampu berdoa meminta petunjuk Allah S.W.T. Kini dia yakin apa yang dilakukannya. Dia memilih Fatin. Dia sanggup menerima pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepadanya. Ibunya sendiri memarahinya walaupun jauh di sudut hati Puan Zakiah lebih menyenangi Fatin. Dia tahu dia yang banyak bersalah dalam hal ini. Nasib baiklah Nadia memahaminya dan tidak menyalahkannya seratus peratus. Nadia sedar jodohnya bukan dengan Fariz.Beberapa bulan selepas berpisah dengannya Nadia berjumpa dengan orang lain dan mengambil keputusan untuk berkahwin. Nadia bahagia dengan pilihan hatinya itu. Baru minggu lepas dia melawat Nadia yang baru sahaja melahirkan anak ketiganya. Hubungan Nadia dengan Fatin juga semakin akrab. Fariz memanjat kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana memberikan kesempatan mengenali dua wanita yang baik ini. Fariz melipat suratkhabar yang di bacanya. Dia segera mendekati Fatin.
“ Biar abang bawa Fakrul tidur dalam bilik. Fatin pergi rehat dulu.” Fariz mengambil Fakrul dan berlalu ke bilik.
Fatin hanya mampu tersenyum dan menganggukkan kepala. Sempat dia melepaskan satu ciuman ke dahi Fakrul sebelum anak kecil itu didukung Fariz. Dia berasa bersyukur kerana dia masih diberikan peluang untuk terus menjalani kehidupan yang bahagia ini bersama Fariz. Hanya doanya di dalam hati semoga bahagia ini akan kekal menjadi miliknya untuk hari ini, esok dan selama-lamanya.
______________________________________________________________
Hasil Nukilan,
Siti Zuharani Binti Mohamad Ali
KPLI Julai 2007

0 comments:
Post a Comment